Saturday, October 18, 2008

Menipu Wang Syarikat



Kita pernah mendengar dan membaca mengenai keruntuhan badan-badan korporat seperti Enron, Worldcom, dan Global Crossing di Amerika, yang sebab utamanya ialah tipu helah kewangan yang dilakukan oleh mereka yang diberi kepercayaan untuk menguruskan syarikat-syarikat ini. Skandal tersebut menjadi perbualan dunia korporat selama berbulan-bulan, menarik liputan media dan mengejutkan para pengawal selia. Ini menyebabkan kita berfikir bagaimana teknik perakaunan yang kreatif boleh digunakan untuk mengeluarkan berjuta-juta atau berbilion-bilion ringgit daripada sesebuah syarikat tanpa dapat dikesan.

Apakah yang merangsang penipuan?
Pada waktu meleset dan pasaran saham menjadi bearis, ramai pelabur tergesa-gesa untuk keluar daripada pasaran, terutama apabila mereka melihat harga saham mereka mengalami kejatuhan setiap hari. Ini lebih dirasakan lagi jika syarikat yang dilaburkan itu tidak menunjukkan prestasi yang baik, dan menurut pandangan pemegang saham, berkemungkinan besar syarikat itu akan merosot lebih teruk dalam keadaan ekonomi yang meleset. Pelabur yang memiliki satu atau dua lot saham tidak menghadapi tekanan yang besar kerana kerugian mereka tidaklah sebanyak yang dialami oleh pemegang saham utama yang memiliki beribu-ribu lot saham. Sebahagian daripada pemegang saham yang besar ini mungkin mahu keluar daripada pasaran seberapa cepat yang boleh. Walau bagaimanapun, masalah timbul apabila pemegangan saham mereka dalam sesebuah syarikat itu terlalu besar sementara permintaan bagi saham itu terlalu rendah di pasaran, menyebabkan sukar bagi mereka keluar daripada pasaran pada harga yang dikehendaki.

Sesetengah pemegang saham menunggu sehingga pasaran menjadi bulis, tetapi sebahagian lagi tidak mahu menunggu. Ada orang tidak segan silu untuk melakukan apa sahaja untuk mendapat keuntungan walaupun melalui penipuan. Di sini diberikan contoh bagaimana seorang pemegang saham terbesar dalam sebuah syarikat awam tersenarai merancang satu bentuk penipuan untuk membolehkannya keluar daripada syarikatnya dengan keuntungan yang dikehendaki – dengan menipu hak pemegang saham minoriti.

Bagaimana pemegang saham minoriti tertipu
Encik A ialah pemegang saham yang besar dalam sebuah syarikat awam tersenarai (PLC) A, Encik B ialah pengarah PLC B manakala Encik X pula, yang kononnya perunding cara perniagaan, adalah perancang kepada penipuan itu.

Encik A, pemegang saham yang besar bagi PLC A mahu menjual kepentingannya dalam syarikat itu. Saham yang dibelinya pada harga RM9 sesaham itu menjunam kepada RM2 sesaham. Encik A menghadapi tekanan untuk menjual sahamnya kerana ketika membeli saham-saham PLC A dahulu, dia menggunakan pinjaman bank dan faedahnya semakin terkumpul. Walau bagaimanapun, disebabkan pasaran terlalu bearis, Encik A tidak dapat menjual saham-sahamnya di pasaran terbuka pada harga yang dikehendakinya. Selain itu, harga sebanyak RM2 sesaham tidak mencukupi untuk membolehkannya membayar pinjaman bank campur faedah. Oleh itu, dia mencari “rakan-rakan” yang sanggup membeli saham-saham itu pada harga RM11.00 sesaham. Secara logiknya, kita tentu fikir bahawa pelabur yang bijak tidak akan membayar harga yang begitu tinggi untuk saham yang bernilai cuma RM2 di pasaran terbuka. Walau bagaimanapun, yang berlaku adalah di sebaliknya. Encik X mendatangi Encik A dan menawarkan untuk membayar harga yang dikehendaki oleh Encik A, dengan syarat Encik X dibenarkan menguruskan akaun dan aset syarikat.

Untuk memudahcarakan kemasukannya ke dalam PLC A, Encik X diminta membayar sejumlah deposit kepada Encik A. Tetapi Encik X tidak ada wang. Jadi, dia menemui Encik B, pengarah PLC B, untuk mendapatkan “pinjaman peribadi” sambil berjanji akan membayar faedah yang tinggi ketika membayar balik pinjaman itu. Encik X kemudian membayar deposit yang diminta kepada Encik A dan berjaya menyertai PLC A sebagai perunding cara perniagaan. Sebagai perunding cara perniagaan, dia mendapat akses dalam PLC A yang membolehkannya mengendalikan PLC A mengikut kehendaknya. Dia kemudiannya melaksanakan rancangannya untuk menggunakan dana PLC A bagi membayar depositnya kepada Encik B, baki pembelian kepada Encik A, dan mengambil baki wang itu untuk dirinya sendiri.

Walau bagaimanapun, sambil masa berlalu, tempoh pembayaran balik pinjaman peribadinya itu pun matang. Encik X masih belum membayar hutang pinjamannya itu kepada Encik B. Encik B mula tidak sabar dan mendesak supaya Encik X mengembalikan wang yang dipinjamnya. Walau bagaimanapun, Encik X tidak mempunyai wang untuk membayar Encik B, disebabkan dia memerlukan masa untuk mengeluarkan aset PLC A, dan segala-galanya tidak berjalan lancar sebagaimana yang dikehendakinya. Tetapi, Encik X yang bijak dan licik itu berjaya menenangkan Encik B dengan memberi jaminan yang dia akan mendapat semula wangnya jika dia menurut rancangan Encik X. Encik X mencipta satu “perjanjian pinjaman” antara PLC A, yang kini bawah kuasanya, dan PLC B yang dikuasai oleh Encik B, mengambil kesempatan daripada hubungan usaha sama yang telah pun terjalin antara kedua-dua syarikat tersebut. Bawah perjanjian usaha sama ini, PLC B diminta menyediakan pinjaman (bagi satu jumlah yang sama dengan jumlah pinjaman peribadi Encik X campur faedahnya sekali, daripada Encik B) untuk PLC A, sebagai membiayai projek usaha sama mereka. Walaupun pada zahirnya ini dilakukan mengikut peraturan, tetapi sebenarnya, wang yang dibayar oleh PLC B tidak pergi kepada PLC A, sebaliknya masuk terus ke poket Encik B. Melalui cara ini, Encik B berjaya mendapatkan semula wang yang dipinjamkannya campur faedah daripada Encik X manakala Encik X pula berjaya mengalihkan liabiliti peribadinya kepada PLC A melalui strategi hutang buku (book debt). Untuk mengabui mata orang lain mengenai transaksi ini, buku akaun kedua-dua PLC A dan PLC B dipalsukan melalui kemasukan butiran perakaunan seperti yang berikut:

Perkara Kemasukan Perakaunan dalam PLC A Kemasukan Perakaunan dalam PLC B
Pembentukan “perjanjian pinjaman” antara PLC A dan B. Kredit “Liabiliti” bagi wang yang dipinjam daripada rakan kongsi usaha sama (PLC B) Debit “Aset” bagi wang yang dipinjamkan kepada rakan kongsi usaha sama (PLC A)
“Wang hilang” daripada PLC B Debit akaun “Perbelanjaan Pembangunan” sebagai kos pembangunan bagi projek Kredit akaun “Tunai” sebagai wang yang dibayar

Sebagai kesimpulan, Encik X berjaya memindahkan hutang peribadinya kepada PLC A dan PLC B dengan penggunaan teknik perakaunan yang menyebabkan hanya kedua-dua syarikat itu yang terpaksa menanggung semua kos.
Apa yang anda boleh lakukan!
Yang diberikan di atas ialah contoh pecah amanah dan pelanggaran tanggungjawab fisudiari oleh pengarah. Para pelabur, terutama pemegang saham minoriti, harus sentiasa melaksanakan hak mereka untuk mendapatkan maklumat dan belajar meneliti laporan tahunan atau suku tahun syarikat (juga boleh didapati di tapak web BSKL, www.klse.com.my) untuk melindungi diri mereka daripada menjadi mangsa penipuan sebegini. Sentiasa pantau pelaburan anda! Dan di mana perlu, suarakan pandangan anda pada mesyuarat agung tahunan (AGM) sekiranya anda tidak suka dengan sebarang tindakan atau keputusan yang dibuat oleh lembaga pengarah. Sekiranya anda mengesyaki sebarang tata laku salah di kalangan para pengarah, setiausaha, pengurus dan pegawai-pegawai lain syarikat itu, anda boleh membuat laporan kepada:

Suruhanjaya Syarikat Malaysia
Tingkat 2, 11-17 Putra Place
100 Jalan Putra
50622 Kuala Lumpur
Tel: 03-4043 3366
Faks: 03-4049 2313
Emel: tanya@ssm.gov.my

Aduan mengenai penipuan atau pecah amanah, misalnya pengeluaran wang syarikat oleh pengarah (atau pengarah-pengarah) atau oleh pegawai (atau pegawai-pegawai), harus dilaporkan kepada polis bagi membolehkan mereka menyiasat kesalahan tata laku bawah Kanun Keseksaan. Aduan tersebut boleh diajukan kepada:

Polis Diraja Malaysia
Jabatan Siasatan Jenayah
Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan
Polis Diraja Malaysia
Kompleks Kerajaan Bukit Perdana
Jalan Dato’ Onn
50480 Kuala Lumpur
Tel: 2693 0245
Faks: 2693 0423

No comments: